Hasan Al-Basri berkata –
Barangsiapa yang mencintai Allah akan menganggap dunia ini sebagai musuh dan
barangsiapa yang mencintai dunia secara tidak langsung akan menjadi musuh
kepada Allah
Bila kita kaji sejarah
bagaimana peranan masjid di zaman Rasulullah dan salafussoleh (300 tahun
selepas Rasulullah), kita akan nampak betapa masjid telah mengambil peranan dan
memberi jasa yang sangat besar pada pembangunan masyarakat Islam. Imam yang dipilih
bukan sebarang imam. Guru yang mengajar bukan sebarang guru.
Ketika Sayidina Ali bin Abu
Talib k.w.j. yang menjadi khalifah masuk ke sebuah masjid besar, waktu itu
masjid masih menjadi gudang ilmu, dilihat di setiap sudut ada kelompok-kelompok
pengajian. Guru-guru yang mengajar di waktu itu adalah tokoh-tokoh besar di
zamannya. Sayidina Ali bertanya untuk menguji setiap ulama atau guru yang
mengajar di masjid itu. Banyak yang tidak dapat menjawab pertanyaan Sayidina
Ali itu. Padahal pertanyaannya mudah saja iaitu ,”Apa yang merosakkan manusia.”
Maka beliau sebagai khalifah, orang yang paling bertanggung jawab dalam
mendidik masyarakat berkata,” Engkau tidak layak untuk mengajar”.
Di salah satu sudut masjid
dia lihat seorang anak berusia 12 tahun yang sedang mengajar. Padahal yang
sanggup mengajar di masjid waktu itu bukan sebarang orang. Sebagai guru, tempat
duduk dia lebih tinggi dari murid-muridnya yang duduk di lantai beralaskan
karpet. Bukan sekadar untuk menghormati guru tetapi juga untuk memuliakan ilmu.
Murid-murid yang mendengar kuliah anak itu sudah tua-tua.
Sayidina Ali terkejut
melihat anak kecil itu lalu berkata,”Saya ingin bertanya satu pertanyaan, kalau
engkau dapat menjawabnya, maka engkau boleh terus mengajar, kalau tidak engkau
tidak layak untuk mengajar di masjid ini. Pertanyaan saya adalah apa yang
merosakkan manusia?” Anak kecil itu menjawab, ”Yang merosakkan manusia ialah
kerana cintakan dunia.” Sayidina Ali terkejut mendengarnya kerana jawapan itu
betul, cinta dunia merupakan ibu kejahatan.
Rupanya anak yang berusia 12
tahun itu ialah Hassan Al Basri seorang tokoh yang menjadi besar akhirnya.
Bahkan dia salah seorang imam mazhab, tetapi hari ini ajarannya sudah banyak
hilang dan dilupakan orang. Kalau kita sebut Hassan Al Basri, kebanyakan orang
akan kenal, umur 12 tahun sudah dikagumi orang dan sudah mengajar. Di antara
orang yang mendengar kuliahnya adalah Sahabat Rasulullah.
Peristiwa ini untuk
menggambarkan peranan masjid yang sebenarnya dalam Islam. Masjid merupakan
sumber segala kebaikan. Untuk mengkaderkan dan melahirkan pemimpin, didikan
bermula di masjid, untuk menjadi pejuang dibina di masjid. Tetapi setelah dunia
Islam rosak, lebih-lebih lagi setelah kejatuhan empayar Islam, umat Islam
dijajah pula, selepas itu merdeka setelah 700 tahun rosak, maka peranan masjid
sudah tidak ada, sekadar tempat solat dan belajar membaca Al Quran sahaja.
Di akhir zaman ini, kalau
hendak membangunkan Islam jangan bermula di masjid tetapi berperananlah di
pasar, di restoran, di tengah-tengah orang ramai, rapat dengan pemuda-pemudi,
kalau boleh buat di hotel-hotel, gedung-gedung besar, bangunan-bangunan besar.
Sumber : http://kisahteladan